Semarakkah industri bila radio diwajib putar lagu lokal?
Ditulis oleh Rosli Manah    Selasa, 23 Februari 2010 11:01    E-mail
share

Minggu ini penggiat industri muzik sibuk dengan isu Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang mewajibkan semua stesen radio memutarkan lagu baru nyanyian penyanyi tempatan mulai 1 Mac ini.

Kalau diingkari stesen radio tidak akan dapat memperbaharui lesen yang diberikan kepada mereka. Ketidaklulusan lesen ini akan membawa impak stesen ingkar tidak akan dapat ke udara. Ia bertujuan memastikan artis tempatan tidak akan dianaktirikan.

Datuk Seri Dr. Rais YatimPastinya penyanyi tempatan akan menarik nafas lega apabila menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengumumkan demikian. Selama ini banyak rungutan yang dilontarkan oleh penyanyi dan komposer apabila stesen radio tertentu enggan memutarkan lagu mereka dengan alasan tidak mendapat permintaan peminat.

Lagu Ketentuan nyanyian Ramlah Ram antara satu contoh kukuh ketidakpekaan sebuah stesen radio swasta yang enggan memutarkannya pada suatu masa  dengan alasan lagu tersebut tidak mencapai piawaian mutu yang mereka nilai.

Tapi lagu tersebut akhirnya menjuarai  pertandingan Hits 1 yang dianjurkan oleh RTM. Ia pilihan juri profesional yang arif dalam muzik termasuk komposer dan penggubah muzik.

Antara komposer yang pernah secara lantang mengkritik radio swasta kerana kecenderungan memutarkan lagu dari Indonesia ialah Johari Teh. Malah Johari sedia sekiranya tindakannya lantang bersuara bakal membawa padah lagu-lagunya tidak diputarkan kelak.

Ramlah RamLiza Hanim juga pernah berkali-kali bersuara apabila album yang  diterbit menggunakan wang sendiri payah dapat tempat di corong radio swasta. pada masa luahan mereka dilontarkan, tindakan tidak cepat diambi sehingga menjadikan keadaan makin parah sekarang.

Banyak kesan apabila lagu yang dihasilkan itu tidak mendapat tempat. Kalaulah semasa banyak keluhan dilontarkan lebih tiga atau empat tahun lalu tidak dipandang sepi, industri muzik tidak akan suam seperti hari ini.

Bayangkanlah! Dulu penilaian pemenang Anugerah Industri Muzik (AIM) hanya berdasarkan single sahaja, bukannya album. Kerana kalau mahu tunggu album penuh, alamatnya tak akan ada AIM kerana tak banyak album baru yang dihasilkan.

Dulu ada kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album. Sekarang bertukar kepada persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu. nampak macam hampir sama, tapi sebenarnya ia membaw akesan tak baik untuk masa akan datang.

Ia tidak menggalakkan penerbitan album baru. Kesannya... komposer tak cipta banyak lagu, penulis lirik tak tulis banyak lirik, syarikat rakaman tak terbit banyak album dan penjual CD juga tak jual banyak album. Semakin hari semakin menyusut, akhirnya hanyut.

Syarat baru bawa harapan

Seorang peminat muzik dari Singapura. Nadya Cristiano (saya kenalinya sebagai Didy) turut melontarkan pandangan apabila saya utarakan isu ini dalam laman sosial facebook.

Azza EliteKatanya: "Satu syarat yang bagus tu. Macam kat Singapura macam tu jugak. Kita kena utamakan artis-artis tempatan dulu... jangan pulak jadi kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan."

Seorang bekas pegawai perhubungan awam syarikat rakaman, Shahril pula berkata: "Menteri kena bagi lagi syarat... lagu artis baru tiada pilih kasih atau genre... contohnya artis nasyid yang membawa muzik nasyid supaya tidak dipingggir juga. Radio kurang memainkan lagu artis nasyid dan kalau ada pun yang lebih terarah muzik berirama padang pasir atau  world muzik. Diharap radio-radio ini dapat memainkan apa saja genre muzik artis tempatan."

"Pada saya benda ini sepatutnya dari dulu lagi dilaksanakan... sekarang industri kita dah tenat baru masing-masing nak buka mata... apa-apa pun saya sokong syarat itu," kata penyanyi utama kumpulan Umbrella, Zarul.

Rouslan dari Nova Music pula berpandangan kalau lagu-lagu baru tidak diputarkan daripada sekarang, lima atau sepuluh tahun lagi stesen radio berkonsep retro tak ada lagu untuk diputarkan kerana lagu-lagu baru sekarang berkubur sebelum sempat jadi lagu retro.

Azza, anggota kumpulan Elite pernah merakam single solo tidak lama dulu. Tapi senyap sahaja sehingga sekarang. Tak terdengar pula di corong radio.

DidyKata Azza:  "Kadang-kadang rasa terpinggir juga... ada product baru tapi kurang dimainkan di radio. Macam mana nak cari makan. Harapkan kawan-kawan di media sahaja yang membantu mempromosikan."

Pegawai perhubungan syarikat produksi, Muzie Mulim pula berkata: "Saya cari landasan lain dan buat cara lain untuk promosi lagu.  Yang tenat ialah radio swasta, contohnya lagu Black Eyed Peas tu dimainkan dalam satu hari sampai tujuh atau lapan kali... jadi apa yang kita dapat? Kalau main lagu komposer tempatan sekurang-kurangnya dapat royalti untuk dia orang ni."

Diharapkan selepas 1 Mac akan nampak perubahan. Makin banyak album dihasilkan dan semakin bersemangat syarikat rakaman menghasilkan album untuk artis naungan mereka. Tidaklah industri tersekat di satu sudut sahaja.

Bukan mahu suruh sekat kemasukan lagu Indonesia. Kalau lagu dari Indonesia itu bagus dan boleh mengembangkan lagu kreativiti komposer dan penyanyi kita, apa salahnya mereka masuk.

Tapi lagu Indonesia yang dibawa masuk hari ini bukanlah semuanya bermutu dan terkini, malah ada lagu yang menyerupai lagu-lagu yang pernah dihasilkan oleh artis Malaysia 20 tahun lalu.

Lagu Mencari Johoh oleh Wali Band sangat diminaai dan kerap diputarkan, padahal melodinya membawa kita ke belakang dan sudah banyak kumpulan muzik kita menghasilkan muzik sedemikian  20 tahun lalu.

Kalau artis kita rakam lagu dengan membawa muzik sedemikian, kita akan melabelkannya sebagai muzik kampung, tapi lagu Indonesia diangkat pula. Macam mana tu?

Memang lagu seperti yang dihasilkan oleh Wali Band dicipta khusus untuk menarik peminat kampung di Indonesia, kerana peminat muzik moden di Indonesia kebanyakannya tinggal di kota dan terdedah dengan teknologi yang membuatkan mereka tidak membeli album.

Mereka memang sengaja mencipta muzik yang dapat menarik peminat di kampung. Tapi orang kita yang mengaku moden dengan penguasaan teknologi terkini juga terpengaruh dengan lagu itu. Fikir-fikirkanlah.






Terakhir dikemaskini ( Selasa, 23 Februari 2010 12:33 )